Saturday, May 17, 2008

Selamat Hari Guru...16 Mei.

Pada setiap tahun, tarikh 16 Mei tidak akan lekang dari ingatan kita. Hal ini kerana pada tarikh itulah untuk kita mengenang dan menghargai para guru yang tidak pernah mengenal erti jemu untuk menabur bakti dan jasa untuk mendidik anak bangsa. Apabila saya menghayati semula sajak yang sinonim dengan Hari Guru ini membuatkan saya berasa kagum serta hormat dengan setiap insan yang bergelar guru.



‘ Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa,
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta,
Jika hari ini seorang Presiden sebuah Negara,
Jika hari ini seorang ulama yang mulia,
Jika hari ini seorang Peguam menang bicara,
Jika hari ini seorang Penulis terkemuka,
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya bermula oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca.

Usman Awang


Profesion perguruan di negara kita sudah mencapai usia emas. Telah terbukti selama ini profesion perguruan sebagai elemen penting dalam menggerakkan proses pembangunan negara. Jasa dan pengorbanan terhadap anak bangsa tidak dapat dihitung dengan jari. Pendek kata, jasa mereka amat besar dengan menjadikan kita sebagai bangsa yang berjaya serta mampu berbakti kepada bangsa, agama dan negara. Realitinya, kesemua keperluan tenaga profesional dan teknikal yang kini menggerakkan jentera pentadbiran kerajaan dan pengurusan negara adalah atas kesungguhan, penat jerih guru yang telah mendidik anak bangsa . Melalui didikan merekalah, pembangunan sumber tenaga manusia dapat dikeluarkan dalam menjana pembangunan. Hasilnya nyata, bumi bertuah ini terus bertambah maju dan makmur berkat tenaga manusia yang berkemahiran dan berpendidikan tinggi.

Peranan mereka bukan sahaja setakat di sekolah, lebih dari itu, mereka dijadikan tempat merujuk dalam serba-serbi kehidupan harian. Mereka dijadikan idola dan sumber inspirasi oleh masyarakat. Begitulah hebatnya profesion perguruan pada beberapa dekad lalu. Bagi mengenang jasa dan pengorbanan mereka yang tinggi itu dan sebagai pengiktirafan terhadap profesion berkenaan, maka kerajaan telah mengisytiharkan bahawa setiap tahun 16 Mei sebagai Hari Guru Malaysia. Ianya diadakan bagi mengenang jasa-jasa kaum guru selaku pendidik, pengasuh dan pemimpin kepada anak bangsa dan masyarakat. Kini, profesion perguruan bukan saja tidak menjadi pilihan utama tetapi yang mendukacitakan profesion itu kurang diminati di kalangan pelajar-pelajar. Kalau ada yang berminat hanyalah sebagai pilihan terakhir. Persoalannya apakah benar profesion itu kurang diminati? Dilema ini sering menjadi perdebatan yang tidak berkesudahan. Dari pengamatan pelbagai sudut ada bermacam-macam alasan diberikan. Benar atau tidak bukan soal pokok. Yang penting bagaimana kita hendak kembalikan keunggulan profesion perguruan itu ke landasannya.

Apa yang perlu ialah mengharapkan agar institut pendidikan akan dapat merealisasikan cita-citanya bagi melahirkan guru-guru yang berkualiti dan beriltizam tinggi dengan mendapatkan pelajar-pelajar cemerlang sebagai sumbernya. Saya pasti, harapan kita semua akan terlaksana andainya persoalan perguruan itu dapat ditangani, setidak-tidaknya dengan memberi ruang kepada guru-guru untuk mendapatkan gaji yang lebih tinggi sejajar dengan sumbangan dan tanggungjawab mereka. Dalam pada itu, kita juga menaruh harapan yang tinggi kepada para guru agar benar-benar memelihara profesion perguruan yang mulia ini. Kita mahu status serta profesion perguruan ini akan terus kukuh dan tinggi di persada tanah air. Dalam konteks ini, mereka mesti mempertahankan terus keunggulan profesion keguruan dengan meningkatkan pelbagai kemahiran dan dalam waktu yang sama bersedia untuk menjadi contoh dan teladan yang terbaik kepada masyarakat.

Namun begitu, sebagai insan biasa, guru juga tidak terlepas daripada segala sifat kelemahan dan kekurangan. Akan tetapi, ianya tidak dijadikan alasan malah sentiasa berusaha mencari jalan terbaik untuk pelajarnya tanpa jemu dan bosan, tugas dan amanah dipikul walau kadangkala terpaksa dengan pelbagai karenah pelajar. Disamping itu, guru seringkali terpaksa berdepan dengan pelbagai kritikan yang kadangkala membawa kepada kelunturan semangat namun segalanya terpaksa ditelan atas dasar profesion yang mulia ini. Dalam situasi kini, guru sebenarnya berdepan dengan seribu satu masalah yang tidak pernah kunjung padam. Namun begitu, semua itu bertukar menjadi penawar apabila melihat anak didiknya berjaya. Bagi saya, kegembiraan bagi seseorang guru ialah ketika mana pelajarnya berjaya membina kehidupan serta menjadi insan yang memberikan manfaat bukan insan yang menimbulkan mudarat. Akhir kata.. Selamat Hari Guru kepada guru-guru di Malaysia amnya dan kepada guru-guru yang telah mencurahkan ilmu kepada saya semasa di alam persekolahan khasnya..