Thursday, September 4, 2008

Salam Ramadhan Al Mubarak: Hikmah Disebalik Ibadah Puasa


Hari ini 4/o9/2008 (4 Ramadhan) baru empat hari kita semua menjalani ibadah puasa. Tapi sayangnya kerana saya tidak berkesempatan lagi untuk menikmati waktu berbuka puasa bersama keluarga di kampung kerana tanggungjawab terhadap pelajaran. Disebalik menjalani ibadah puasa selama sebulan ini, banyak rahsia yang tersembunyi di sebalik ibadah puasa ini. Ianya bukan sehaja diakui oleh para ulama malah turut diakui oleh ahli akademik muslim mahupun bukan muslim.


Bagi mereka yang inginkan kesihatan badan yang lebih sempurna, berpuasa secara teratur dan tetap akan memperbaiki sistem daya tahan badan. Ia menjadikannya lebih sihat dan bertenaga.Contohnya dalam berpuasa sepanjang bulan Ramadan 30 hari dan disambung dengan puasa enam hari, banyak sekali kelebihan dan manfaatnya di mana selama masa berpuasa itu semua organ di dalam tubuh badan, terutamanya organ-organ pencernaan seperti perut, pankreas, hati, hempedu dan lain-lain akan menjadi bersih dan penyakit-penyakit seperti kencing manis, kegemukan, keletihan, asma, darah tinggi, angin medu, uluran dan sebagainya akan beransur-ansur menjadi baik dan sembuh.


Memang telah diakui oleh kebanyakan agama di dunia bahawa berpuasa banyak memberi hikmah dan kebaikan. Islam menjadi pelopor pertama agama di dunia dengan mengsyorkan supaya setiap umatnya berpuas sepanjang bulan Ramadan agar dapat memberi peluang kepada semua organ tubuh badan dapat berehat seketika demi mempersiapkan diri untuk bertugas sepanjang tahun yang akan datang. Agama Hindu, Buddha, Yahudi dan Nasrani juga diarah berpuasa mengikut cara masing-masing. Ada yang berpuasa selama tiga hari sahaja, ada yang berpuasa hanya di waktu malam dan ada juga agama yang tidak menetapkan jumlah puasanya, bergantung kepada kemampuan penganutnya.


Namun dalam banyak cara amalan berpuasa, Islam merupakan satu amalan puasa yang paling praktikal di mana sebulan puasa berterusan di siang hari akan memberi kesegaran dan kesihatan yang paling maksimum baik dari segi mental mahupun fizikal. Islam adalah agama yang toleransi, ia mengarahkan umatnya yang sihat tubuh badan, baik fisikal dan mental serta cukup umur sahaja melainkan ibadah puasa. Orang-orang yang mengalami kesakitan yang serius,ibu-ibu yang sedang sarat mengandung (cukup bulan), orang-orang yang menderita penyakit gastrik yang serius, orang-orang musafir adalah antara orang-orang yang dikecualikan dari berpuasa.


Tetapi sebaik sahaja mereka sudah pulih dari sebarang penyakit yang dialaminya, mereka dikehendaki menggantikan puasanya yang ditinggalkan. Sepanjang pengalaman praktik, saya dapati bahawa orang-orang yang mengalami gastrik memang diakui tidak boleh lewat makan atau terlalu lama berlapar, mereka akan cepat letih, penat, menggigil, sakit kepala dan sebagainya, tetapi bagi orang-orang yang disertai niat tulus dan ikhlas untuk berpuasa, orang-orang ini dapat berpuasa terus-menerus selama 30 hari tanpa apa-apa masalah. Malah mereka lebih segar dan sihat dari biasa. Inilah yang dikatakan Hikmah Puasa! Tetapi bagi orang-orang yang kurang beriman, sudah pasti akan mengambil kesempatan untuk tidak berpuasa sepanjang bulan Ramadan kerana alasannya gastrik. Bagi orang-orang yang mempunyai berat badan yang berlebihan, orang-orang yang gemuk, tekanan darah tinggi serta kencing manis yang tidak terlampau serius memang cukup baik bagi mereka untuk berpuasa.


Mereka harus merebutkan peluang ini yang datang hanya sekali dalam setahun, kerana amalan berpuasa bererti mengurangi tabiat makan yang berlebihan dan sekaligus akan mengurangi berat badan. Berat badan akan turun sesuai dengan fisikal tubuh badan seseorang, purata seseorang yang gemuk dapat turun berat badannya sebanyak 0.25kg dalam sehari selepas dua atau tiga hari berpuasa. Begitu juga bagi orang-orang yang menderita tekanan darah tinggi akan dapat merasai perubahan tekanan darah menjadi lebih normal setelah mula berpuasa dari hari ke-3 hingga ke-5. Orang-orang menderita kencing manis akan dapat melihat perubahan hari ke-2 dan ke-3 puasa. Semua bentuk keracunan di dalam badan seperti lemak, kolestrol, tekanan darah, gula dalam darah serta bahan-bahan lain yang berlebihan akan turun hilang sepanjang seseorang itu berpuasa.


Oleh yang demikian kita merasa lebih tenaga, lebih sihat, ringan dan ceria sepanjang kita berpuasa. Anda harus memulakan niat yang baik iaitu berpuasa untuk melakukan ibadah serta untuk kesihatan badan. Jangan melakukan puasa secara paksa sedangkan di dalam fikiran, hanya memikirkan bila azan maghrib berbunyi untuk makan. Bila sampai waktu berbuka, MasyaAllah, makan lebih banyak daripada belum puasa, berbuka dengan segala makanan manis, ayam percik, kurma, nasi tomato dan sebagainya. Selepas solat Maghrib dan Isyak terus makan lagi tidak henti-henti dan terus tertidur. Puasa cara begini tidak akan memberi manfaat kepada kesihatan anda, malah mungkin akan menimbulkan penyakit yang lebih serius lagi.


Anda harus ingat, bahawa berpuasa memerlukan pemerhatian yang tertentu dan mendisiplinkan diri anda ke arah kebaikan. Sepanjang berpuasa lakukanlah kerja-kerja seperti biasa, jika keletihan tidurlah ala kadar, jangan terlampau banyak tidur, ini akan meletihkan. Sewaktu berbuka jangan terlampau banyak makan. Jika anda melakukan ibadah puasa dengan baik dan teratur tentu sekali anda akan memperolehi hasil yang memuaskan diri anda. Anda harus yakin bahawa Islam tidak akan menyuruh umatnya berpuasa melainkan ada hikmah dan kebaikan di sebaliknya.

Statistik Kemalangan Jalanraya: Salah Siapa??


Tergerak dihati untuk mengetahui jumlah kemalangan dan kematian yang telah berlaku sepanjang tahun 2007. Lebih-lebih lagi untuk melihat seteruk mana kemalangan dan kematian yang melibatkan motosikal di Malaysia ini. Memang tidak dapat dinafikan motosikal merupakan kenderaan yang paling banyak terlibat dalam kemalangan dan kehilangan nyawa.

Pada tahun 2006 jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya adalah seramai 6,287 orang. Dari jumlah ini penunggang dan pembonceng motosikal sahaja melibatkan 3,693 orang atau 58.7%. Sementara itu bagi tahun ini sehingga September 2007 jumlah keseluruhan kematian akibat kemalangan jalan raya ialah 4,646 dan penunggang serta pembonceng motosikal sahaja ialah 2,476 atau 53.3%.

Bagi kategori lain setakat September 2007, jumlah kematian yang melibatkan pemandu dan penumpang kereta ialah seramai 1,113 (24%), pejalan kaki 482 (10.4%), penunggang dan pembonceng basikal 141 (3%)pemandu dan kelindan lori 145 (3.1%), pemandu dan kelindan van 101 (2.1%), pemandu dan kelindan pacuan 4 roda 65 (1.4%), pemandu dan penumpang bas 64 (1.4%) dan kenderaan lain 59 (1.3%). Menurut perangkaan bagi 2005 kadar kematian jalan raya adalah 4.2 kematian setiap 10,000 kenderaan berdaftar dan bagi 2006 3.95 kematian setiap 10,000 kenderaan berdaftar.

Bagaimanakah jumlah kemalangan dan kematian ini boleh dikurangkan dimasa akan datang? Apakah punca kemalangan jalan raya ini boleh berlaku? Pihak berkuasa boleh mengadakan undang-undang dan menguatkuasakannya, di mana mereka yang tertangkap akan dihukum. Berbagai kempen dan program boleh diatur untuk memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya. Didikan di sekolah dan di rumah juga perlu seiring dalam usaha untuk menjadikan jalan raya lebih selamat.

Pihak kerajaan telah menubuhkan Jabatan Keselamatan Jalan Raya dengan misi menjadikan Malaysia sebuah negara yang mempunyai tahap keselamatan jalanraya setaraf dengan negara maju menjelang 2010 iaitu 10 kematian setiap 100,000 penduduk, 2 kematian setiap 10,000 kenderaan berdaftar dan 10 kematian setiap satu billion kilometer perjalanan kenderaan. Objektif jabatan ini diwujudkan adalah sebagai "One Stop Agency" bagi memantau dan menyelaras program keselamatan jalanraya dari aspek Pendidikan, Penguatkuasaan, Kejuruteraan dan Persekitaran.

Walaupun begitu akhirnya bergantung kepada kesedaran dan sikap para pengguna jalan raya itu sendiri. Rakyat Malaysia memang terkenal dengan sifat ramah mesra dan berbudi pekertinya tetapi kenapa apabila menggunakan jalan raya bertukar menjadi kurang ajar dan tidak bertimbang rasa? Adakah sistem pendidikan kita yang terlalu menjurus kepada peperiksaan telah mengabaikan aspek-aspek sahsiah diri seorang itu? Mungkin juga ibubapa gagal memupuk nilai-nilai murni kehidupan kepada anak-anak? Sebelum menuding jari kepada sesiapa, cuba kita periksa dulu diri kita, bagaimanakah cara pemanduan kita?