Tuesday, June 10, 2008

Cukai Tinggi, Kita Rugi.





Pada minggu lepas saya mengambil keputusan untuk pulang ke kampung di utara tanah air iaitu Perlis berikutan terlalu lama berada di Kuala Lumpur untuk membantu kakak mengemas rumah barunya yang bakal didiami tidak lama lagi. Ketika dalam separuh perjalanan, saya berselisih dengan segerombolan konvoi motosikal berkuasa tinggi atau lebih dikenali sebagai SuperBike. Tidak puas rasanya kerana tidak dapat melihat setiap jentera tersebut dengan lebih lama. Antara beberapa jentera yang sempat saya kenal pasti di dalam konvoi tersebut ialah Honda CBR 1000 seperti gambar di atas, Honda Gold Wind, Kawasaki Z750, Z1000 dan Versys.,Yamaha MT01 dan R1, Kawasaki Voyager dan beberapa lagi model yang tidak sempat saya kenal pasti kerana ditunggang terlalu laju. Namun apa yang pasti ialah konvoi tersebut datangnya dari negara jiran iaitu Singapura kerana berdasarkan no pendaftaran yang tercatat pada setiap jentera berkuasa tinggi itu tadi.

Kerana hati terlalu teruja dek melihat kelibat jentera-jentera berkuasa besar itu tadi membuatkan saya terfikir mengapakah sukar untuk kita melihat rakyat Malaysia memiliki jentera tersebut? Pernah juga terdetik hati ini untuk memiliki jentera sehebat itu malah menjadi azam pula untuk memilikinya selepas menceburi alam pekerjaan nanti. Namun, apa yang pasti untuk memiliki jentera hebat seperti itu tidaklah mudah seperti yang disangka. Apa yang saya dapat lihat ialah kemunculan model-model baru di serata dunia oleh syarikat-syarikat pengeluar motorsikal berkuasa tinggi seperti Ducati, Yamaha, Honda, Kawasaki, Harley- Davidson, KTM dan sebagainya lagi kurang mendapat sambutan oleh peminat-peminat jentera tersebut di Malaysia. Namun peminat jentera tersebut dari negara jiran walaupun berpendapatan sederhana dapat memiliki dan menunggang model motorsikal tersebut. Bagaimana peminatnya di Malaysia?

Jika nak bandingkan, kemajuan industri motorsikal kita dengan industri motorsikal luar negara sangat jauh ketinggalan 10, 20, 30 tahun. Kenapa keadaan ini berlaku? Banyak kemungkinan yang dapat kita andaikan. Pertama ialah cukai import terlalu tinggi (120%) menyebabkan pengedar "gerun dan tidak berminat" membawa masuk motorsikal tersebut. Akibatnya bank pun tak sudi nak layan dan mereka mengenakan syarat yang terlalu ketat. Realitinya harga superbike menyamai harga sebuah rumah dengan tempoh bayaran yang amat pendek (4-6 tahun). Sedangkan pinjaman rumah boleh dirunding sehingga tempoh 30 tahun.

Akibatnya banyaklah model jentera berkuasa tinggi itu yang ketinggalan zaman, tersadai di kedai-kedai dan bilik pameran. Mengapakah pihak kerajaan tidak ambil peduli? Sedangkan ribuan peminat motorsikal di Malaysia meleleh air liur bila melihat jentera hebat ini berdesup di atas jalan raya kita dari negara jiran. Kalau ada yang sanggup beli pun mungkin terpaksa mengikat perut kerana tidak tahan dengan bayaran yang terlalu tinggi. Tidakkan pernah pihak kerajaan terfikir untuk mengatasi masalah ini? Turunkan kadar cukai sehingga 10-40 % dengan bersyarat iaitu segala pemasangan dan alat ganti dibuat di Malaysia. Sekaligus memberi manfaat kepada banyak pihak dalam jangkamasa panjang.

Sementara itu, kerajaan akan menerima cukai berterusan ( motorsikal laris), peluang pekerjaan (pembukaan kilang pemasangan dan pembuatan alat ganti), pemindahan teknologi ( kerjasama pengilang luar dan pengilang tempatan) dan mewujudkan motorsikal berkuasa tinggi buatan Malaysia yang mampu berdaya saing di dalam mahupun luar negara. Jika ini dilaksanakan 10-25 tahun lepas, mungkin banyak motorsikal berkuasa tinggi dapat dilihat berdesup di atas jalan raya kita. Kita juga mungkin menjadi pusat pemasangan dan pusat pembekal alat ganti terbesar di rantau Asia Tenggara. Tapi sayang semuanya sudah terlambat. Buktinya AFTA yang kita nanti-nantikan sekian lama dusta belaka. Semuanya hanyalah andaian dan harapan kosong yang tidak mendatangkan apa-apa keuntungan kepada industri kita. Jika kerajaan cepat bertindak, mungkin harga superbikes 600cc lebih murah dari harga sebuah Kancil. Harga superbikes 1000cc keatas lebih murah dari Proton Wira. Segalanya mungkin.

Namun apa yang kita dapat lihat pada hari ini, kita hanya mampu bermegah dengan motorsikal Modenas yang hanya mampu bertahan 5-6 tahun saja sebelum tersedai di tepi rumah mahupun di reban ayam dek kerana kualitinya yang "menakjubkan!!"

Kenaikan Harga Minyak..Rakyat Menderita,Kerajaan Buat-Buat Senyum Mesra!



Pengumuman kenaikan harga minyak yang berkuatkuasa 4hb 6 lepas dan tarif baru elektrik bagi Semenanjung mulai Julai ini dilihat sebagai permulaan kepada rentetan kenaikan harga barang. Keadaan ini tidak boleh diambil mudah dan memerlukan komitmen daripada semua pihak untuk mencari jalan penyelesaiannya. Namun, apa yang pasti ianya tidak semudah seperti yang acap kali dipesan oleh PM kita sekarang iaitu "UBAH CARA HIDUP.". Kenaikan harga minyak ini bakal membebankan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah. Saya berpendapat bahawa tidak hairanlah mengapa ianya mendapat pelbagai reaksi daripada pelbagai golongan masyarakat.
Hal ini kerana, kenaikan bahan bakar tersebut merupakan kenaikan yang tertinggi dalam sejarah Malaysia iaitu sebanyak 78sen dan RM 1 seliter. Untuk mempertahankan tindakan itu, kerajaan kita dibawah pimpinan Dollah sekarang cepat serta bingkas memberikan alasan. Antaranya ialah mengikut harga pasaran semasa. Kos operasi yang meningkat 2oo%. Jumlah subsidi yang perlu ditanggung kerajaan semakin meningkat. Malah mereka menyuruh pula kita membandingkan dengan negara-negara jiran seperti Singapura dan Thailand umpamanya. Jika rakyat Malaysia celik minda dan tidak terlalu taksub kepada parti pemerintah sekarang (BN), pasti kita boleh berfikir dengan rasional apabila membuat perbandingan tersebut. Jika membuat perbandingan memanglah harga petrol dan diesel yang dijual di Singapura lebih tinggi jika hendak dibandingkan di Malaysia. Tetapi pernahkah kita membuat perbandingan pendapatan di antara rakyat Singapura dengan rakyat Malaysia? Jurang perbezaan nyata sekali dan apa yang pasti harga minyak di Singapura tidak memberi kesan kepada rakyatnya berbanding harga minyak di Malaysia yang kononya masih "ditahap yang masih rendah".
Sementara itu, apa yang kita semua dapat lihat ialah kenaikan harga barang keperluan yang semakin meningkat disamping kenaikan tambang bagi pengangkutan kemudahan awam. Kenaikan ini amat membebankan rakyat namun kita perlu faham bahawa para peniaga serta pengusaha pengangkutan awam jiga turut menerima tempias dek tindakan bodoh kerajaan ini. Malah mereka juga memberi amaran kepada peniaga dan pengusaha penguangkutan awam bahawa mereka akan mengambil tindakan keras seperti menarik balik lesen perniagaan dan perkhimatan sekiranya menaikkan harga barang dan tambang. Apa kerajaan kita ingat peniaga berniaga untuk membuat kerja kebajikan dan tidak memikirkan keuntungan? Bas dan teksi tidak guna minyak,guna air?
Ketika saya berada di kampung untuk menghadiri majlis kenduri, terdengar pelbagai reaksi dan rungutan daripada kenalan kampung dan juga orang kampung yang rata-ratanya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.
Reaksi 1: Aku pelik la..yang menteri-menteri dan YB kita tu jadi wakil cakap kerajaan ka? Jadi wakil cakap rakyat?
Reaksi 2 : Alah, dah naik.naik la! Kita bayaq sudah! (Padahal keja kilang)
Reaksi 3 : Biasa la tu...harga minyak dunia naik...
Reaksi 4 : Depa xpa la naik apa pun free..(PM dan menteri-menterinya)
Reaksi 5 : Tiap-tiap tahun kerajaan umum Petronas untung! Tp rakyat yang rentung!
Reaksi 6 : Kerajaan naik harga minyak tak dengar pendapat rakyat..mungkin 4 tahun lagi baru kerajaan nak dengar pendapat rakyat..(Masa Pilihan Raya akan datang)
Apabila saya memikirkan kembali reaksi 5 diatas, memang ada maksudnya yang tersendiri. Hal ini kerana kerajaan memberi alasan bahawa subsidi minyak tidak mampu lagi ditanggung kerana kenaikan melampau harga minyak dipasaran dunia. Namun kemusykilan ialah keuntungan Petronas terus meningkat saban tahun dan dengan kenaikan harga minyak itu dan sudah pasti menguntungan kerajaan dan Petronas. Oleh itu, mengapa perlu dinaikkan lagi harga minyak??? Selain itu, kerajaan berjanji untuk menggunakan wang subsidi yang ditarik balik dari rakyat melalui kenaikan harga minyak untuk pelbagai projek kemudahan rakyat. Saya masih berharap walaupun penuh kemusykilan agar janji itu dikotakan secara telus dan berhemah, bukan sekadar janji-janji kosong untuk meredakan kemarahan rakyat sahaja.