Thursday, March 12, 2009

"Notis Pemberitahuan"

Di dalam jangkamasa dua bulan ke atas (bergantung kepada situasi), tidak akan ada sebarang entry baru yang akan diterbitkan di dalam blog saya ini. Hal ini disebabkan saya terpaksa menumpukan sepenuh perhatian terhadap perkara-perkara penting terutamanya yang melibatkan penulisan tesis saya yang memerlukan lebih perhatian dan perlu diberi keutamaan. Sekiranya semuanya telah selesai, InsyaAllah saya akan menulis seperti biasa di ruangan blog ini. Sekian saja untuk kali ini.

Monday, March 9, 2009

Dua-Dua Tak Layak!!!!




Walaupun dihimpit kekangan ruang dan waktu untuk menonton rancangan Hujah di televisyen baru-baru ini tetapi dengan bantuan teknologi internet dapat jua saya menontonnya di laman You Tube. Niat saya cuma satu iaitu saya ingin melihat sejauh manakah pemikiran dan hujah yang dikemukakan dua ahli panel yang juga calon Naib Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Mohd Isa Samad.


Saya mengharap mereka akan menuangkan sesuatu yang bernilai kepada penonton dan hadirin di DBP yang sekaligus mencerminkan kewibawan dan kemampuan mereka sebagai pemimpin tertinggi Umno. Kalau pun mereka tidak sempat membentangkan agenda mereka tetapi dapat menjawab dengan baik segala persoalan yang dilontarkan oleh pengatarcara Hujah iaitu pensyarah saya sendiri Prof Madya Dr Mohamad Agus Yusuf.

Rancangan Hujah walaupun ringkas tetapi ia menguji kecekapan pemikiran ahli-ahli politik dalam konteks ini calon pemimpin tertinggi Umno. Prof Agus sengaja melantunkan soal-soal yang kurang disenangi untuk melihat sejauh mana kecekapan ahli panel yang bakal menjadi pemimpin tertinggi Umno itu.

Walaupun saya bukan ahli UMNO tetapi saya sangat kecewa dan merasakan saya membazir masa dengan siaran itu. Kualiti yang diharapkan dari hujah kedua mereka, Zahid dan Mohd Isa sungguh mengecewakan. Kalaulah itu standard yang ditunjukki mereka untuk dipilih sebagai Naib Presiden Umno dan kalau mereka terpilih betapa Umno menjadi semakin parah.

Kedua ahli panel itu masih bersikap sambil lewa dengan apa yang berlaku dalam parti berkenaan dan enggan menerima kenyataan. Keduanya rela menyembunyikan penyakit dalam Umno dan tidak bersedia dan telus dalam memperkatakannya. Pada saya kedua ahli panel berkenaan tidak berjiwa besar dan suka melihat pelangi daripada ditimpa hujan.

Misalnya Mohd Isa berhujah dan menjawab persoalan secara selamba dan tidak serius memberi petunjuk bahawa begitulah keadaannya Umno sekiranya beliau menjadi salah seorang pemimpinnya. Sikap jenaka Mohd Isa itu menjelaskan begitulah juga suasana yang berlaku dalam Umno kini penuh dengan jenaka-jenaka dan sandiwara.

Mohd Isa sengaja membutakan matanya dalam melihat realiti Umno hari ini. Ada ketakutan dan sikap tidak jujur kepada Mohd Isa dalam melihat masalah Umno. Baginya, masalah rasuah dalam Umno tidak begitu serius dengan memberi andaian secara sinikal kalau ia berlaku tentu ramai orang yang digantung sepertinya.

Mohd Isa tidak serius dan cuba memberi solusi berhubung politik wang. Sikap 'tak apa' dan redha atas apa yang berlaku itulah menyebabkan masalah itu akan berterusan. Dalam pada itu jawaban Mohd Isa menjelaskan bahawa beliau benar-benar terlibat dalam politik wang dan soalan redha dengan apa yang berlaku.

Begitu juga ketika Prof Agus menimbulkan soal Umno kini makin tidak diminati oleh golongan muda dan meminta beliau memberi jawaban, Mohd Isa tidak serius dengan persoalan itu dan cuba menafikan realiti itu dengan mengilas persoalan itu dengan menjawab bahawa ramai anak-anak muda dalam Umno. Sikap menolak realiti ini bukan satu sikap membangun dan berjiwa besar Mohd Isa sebagai seorang pemimpin.

Semua persoalan yang dilemparkan 'dikadas' dan dibalas dengan persoalan melucukan menunjukkan Mohd Isa bukan seorang pemimpin yang serius. Saya tidak terkejut dengan sikap dan sifat Mohd Isa kerana sudah mengenali sejauh mana daya kepimpinannya dan fikrah perjuangannya selama beliau menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan dulu. Tetapi apa yang berlaku ke atas Zahid Hamidi sungguh merujakan saya.

Apa yang ditampilkan Zahid malam tadi jauh berbeza dengan sifat dan perwatakannya di publik. Di luar gelanggang ternyata Zahid mampu mempesonakan orang dengan wajah dan PRnya yang cemerlang. Tetapi malam tadi beliau gagal memberi kepuasan dan keyakinan kepada umum dengan cara beliau berhujah dan mengeluarkan idea. Seorang ahli politik yang seharusnya cekap dan pintar menghuraikan isu tidak ada kepada Zahid dalam rancangan itu.

Ternyata malam tadi Zahid banyak diselubungi emosi ketika menjawab persoalan dilemparkan oleh Agus. Perbahasan Zahid juga melencung dan beliau cuba mengelak persoalan yang dilempar ke atas batang hidungnya dengan menyalahkan pembangkang. Jawaban-jawaban yang diberikan tidak relevan dan seolah Zahid sungguh takut untuk mengkritik Umno walaupun dengan niat baik.

Seolah apa yang berlaku Zahid tidak faham apakah hujah yang diingini oleh pengerusi. Dalam rancangan yang boleh dikira menguji kepintaran dan akal begitu Zahid ternyata gagal menunjukkan kemampuannya berfikir dan berhujah secara terbuka, sihat dan bersikap profesional.

Untuk apa beliau melanyak pembangkan penuh emosi dan kebencian. Meluahkan harapan dan kata-kata akan mengajar pembangkang di Perak dalam pilihan raya akan datang. Beliau juga gagal mengawal mulutnya daripada melempar atau menggunakan kata-kata kesat yang tiidak sesuai dilihat keluar dari mulut seorang menteri agama.

Apa yang perlu beliau kemukakan malam tadi ialah hujah-hujah yang rasional berlandaskan kepada fakta bukannya emosional. Atau memberi pandangan dari sudut Islam sebagai landasan dan bukannya dari rasa sentimen dan keakuan yang tebal.

Tepukan gemuruh yang diterima oleh kedua ahli panel berkenaan malam tadi hanya tepukan budak-budak Tadika yang bukan lahir atas kehebatan dan kuliti hujah yang dikeluarkan kedua ahli panel itu tetapi tepukan untuk menyindir pihak lain termasuknya sesekali menyindir Prof Agus sebagai pengerusi yang berjaya memerangkap kedua ahli panel itu dalam wacana intelektual begitu.

Adalah diharap ahli panel untuk rancangan akan datang lebih bijak dan mengeluarkan hujah-hujah konkrit bagi menunjukkan anda layak untuk dipilih sebagai pemimpin tertinggi Umno. Kesimpulan akhirnya ialah bagi saya, dua-dua pemimpin tersebut tidak layak untuk bertanding jawatan Naib Presiden Umno dan tidak menapati piawaian yang diharapkan.


Untuk Ayah Yang Dirindui.



Sudah hampir 4 bulan saya tidak pulang ke kampung menjenguk keluarga tersayang tetapi hanya mampu bertanyakan khabar melalui perbualan singkat di telefon. Hanya itu yang mampu mengubat sedikit kerinduan di hati sambil mengenang saat-saat bersama yang berlalu pergi. Sekiranya berkesempatan pulang ke kampung, ayahlah orang yang pertama yang ingin saya peluk dan cium pipinya. Sudah lama rasanya tidak berkesempatan bergurau senda bersama ayah, berbicara isu semasa, berbincang soal keluarga dan lain-lain lagi. Mungkin ini yang meruntun di hati saya pada saat dan ketika ini.

Jika saya mengenang kembali ketika saya masih kecil, tidak pernah berpeluang untuk saya merasa ini semua bersama ayah. Berdepannya gentar sekali. Bimbang akan ada sesuatu yang tidak kena pada saya di matanya. Mungkin inilah yang menjauhkan saya dari ayah di masa saya kecil. Itulah ayah yang saya kenal pada masa kecil . Tegas dan garang orangnya. Tapi semua itu ada hikmahnya. Sikap tegas dan garang ayah inilah yang membentuk sikap kami adik beradik sehingga hari ini. Jika ayah tidak segarang itu, saya tidak pasti apa yang akan terjadi pada saya di saat ini. Pasti hanyut entah ke mana, leka dengan dunia yang tidak menjanjikan apa-apa.

Apa yang saya turut banggakan pada ayah ialah sikap tabah pada dirinya dalam membesarkan kami sekeluarga. Bagi dirinya, biarlah kami sekeluarga miskin di mata orang, asalkan anak-anak nya mendapat pendidikan yang sempurna. Dalunya mungkin saya tidak pernah sedar dek kekangan pemikaran yang keanak-anakan tentang ketabahan dan kesabaran ayah ini. Namun semuanya mula berubah setelah saya kian dewasa. Ketika di universiti ini, perbelanjaan saya untuk sebulan sudah mencecah RM350. Tetapi tidak dapat saya bayangkan bagaimana ayah dapat menyara kami sekeluarga dengan pendidikan yang sempurna dengan hanya berbekalkan pendapatan Rm450 sebulan. Kemiskinan pada ketika itu sangat menguji kami sekeluarga.

Tapi kini semuanya sudah berubah. Kami adik-beradik mula menampakkan jasa kepada keluarga. Ayah dan emak sudah tidak parlu bersusah payah seperti dulu lagi. Walaupun tidaklah senang lenang, tetapi cukuplah untuk kami sekeluarga. Inilah rahmat dari yang ESA. Tetapi kerinduan ini sangat meruntun jiwa. Hanya entry ini pengubat duka.

Thursday, March 5, 2009

Sepagi Bersama YB Tony Pua.


Sebenarnya entry pada kali ini telah lama dirancang penulisannya iaitu sejak dua minggu lepas. Namun begitu, di atas tuntutan tanggungjawab sebagai seorang pelajar, maka kekangan ruang dan waktu cukup membatasi aktiviti saya sejak kebelakangan ini. Entry pada kali ini bertujuan untuk berkongsi sedikit sebanyak pengalaman saya ketika berkesempatan melakukan temubual bersama YB Tony Pua iaitu ahli Parlimen Petaling Jaya Utara yang mewakili parti DAP di parlimen pada 19/2/2009 yang lalu dan juga melahirkan sedikit tanda penghargaan kepada individu-individu yang telah membantu saya supaya temubual ini berjaya.


Asas kepada temubual ini dilakukan ialah supaya dapat memberi gambaran yang lebih jelas berkenaan pembentukan pakatan politik parti pembangkang ketika menghadapi PRU ke-12 yang lalu supaya satu analisis yang kukuh dapat diterjemahkan ke dalam penulisan latihan ilmiah saya kelak. Perasaan teruja bercampur gembira bergelumang dalam diri saya sepanjang temubual tersebut dilakukan. Segala input yang diberikan oleh YB Tony Pua cukup memuaskan bagi saya. Malah segala pertanyaan yang saya ajukan kepada beliau sepanjang temubual ini berjalan telah berjaya dijawap oleh beliau dengan penuh nilai akademik tanpa dipengaruhi oleh elemen kepartian. Inilah yang saya harap-harapkan ketika dalam perjalanan menuju ke Parlimen pada pagi itu.

Di ruang ini juga, antara perkara yang ingin saya sentuh ialah berkenaan sikap serta ketrampilan yang ditunjukkan oleh YB Tony Pua cukup menarik perhatian saya. Layanan serta kerjasama yang diberikan beliau pada hari tesebut boleh dikategorikan sebagai taraf lima bintang jika itu ukurannya. Inilah yang rakyat biasa seperti saya impikan selama ini. Walaupun saya dan beliau dibezakan oleh status di dalam heirarki masyarakat, tetapi tiada jurang perbezaan yang diperlihatkan oleh beliau. Keadaan ini jelas agak berbeza dengan sesetangah pemimpin kita pada hari ini. Mereka seolah-oleh lupa dari mana datangnya kedudukan mereka tersebut. Undi yang diberikan leh rakyat kepada mereka semasa pilihan raya diterjemahkan dengan sikap angkuh dan tidak mesra rakyat. Inilah realitinya. Tetapi tidak mengapa, biarlah saya sentuh perkara ini sedikit sahaja kerana entry ini bukan bertujuan membangkitkan perkara tersebut. Mungkin boleh dibahaskan di dalam entry akan datang.

Akhir sekali, terima kasih kepada kakak yang sudi membantu untuk menghantar dan menjemput saya di Parlimen pada pagi tersebut. Walaupun dihambat oleh tuntutan tugas yang dipikul tetapi kakak tetap sudi menolong saya supaya memastikan temubual ini dapat dilakukan pada masa dan hari yang dijanjikan. Sekian saja untuk kali ini.