Thursday, March 5, 2009

Sepagi Bersama YB Tony Pua.


Sebenarnya entry pada kali ini telah lama dirancang penulisannya iaitu sejak dua minggu lepas. Namun begitu, di atas tuntutan tanggungjawab sebagai seorang pelajar, maka kekangan ruang dan waktu cukup membatasi aktiviti saya sejak kebelakangan ini. Entry pada kali ini bertujuan untuk berkongsi sedikit sebanyak pengalaman saya ketika berkesempatan melakukan temubual bersama YB Tony Pua iaitu ahli Parlimen Petaling Jaya Utara yang mewakili parti DAP di parlimen pada 19/2/2009 yang lalu dan juga melahirkan sedikit tanda penghargaan kepada individu-individu yang telah membantu saya supaya temubual ini berjaya.


Asas kepada temubual ini dilakukan ialah supaya dapat memberi gambaran yang lebih jelas berkenaan pembentukan pakatan politik parti pembangkang ketika menghadapi PRU ke-12 yang lalu supaya satu analisis yang kukuh dapat diterjemahkan ke dalam penulisan latihan ilmiah saya kelak. Perasaan teruja bercampur gembira bergelumang dalam diri saya sepanjang temubual tersebut dilakukan. Segala input yang diberikan oleh YB Tony Pua cukup memuaskan bagi saya. Malah segala pertanyaan yang saya ajukan kepada beliau sepanjang temubual ini berjalan telah berjaya dijawap oleh beliau dengan penuh nilai akademik tanpa dipengaruhi oleh elemen kepartian. Inilah yang saya harap-harapkan ketika dalam perjalanan menuju ke Parlimen pada pagi itu.

Di ruang ini juga, antara perkara yang ingin saya sentuh ialah berkenaan sikap serta ketrampilan yang ditunjukkan oleh YB Tony Pua cukup menarik perhatian saya. Layanan serta kerjasama yang diberikan beliau pada hari tesebut boleh dikategorikan sebagai taraf lima bintang jika itu ukurannya. Inilah yang rakyat biasa seperti saya impikan selama ini. Walaupun saya dan beliau dibezakan oleh status di dalam heirarki masyarakat, tetapi tiada jurang perbezaan yang diperlihatkan oleh beliau. Keadaan ini jelas agak berbeza dengan sesetangah pemimpin kita pada hari ini. Mereka seolah-oleh lupa dari mana datangnya kedudukan mereka tersebut. Undi yang diberikan leh rakyat kepada mereka semasa pilihan raya diterjemahkan dengan sikap angkuh dan tidak mesra rakyat. Inilah realitinya. Tetapi tidak mengapa, biarlah saya sentuh perkara ini sedikit sahaja kerana entry ini bukan bertujuan membangkitkan perkara tersebut. Mungkin boleh dibahaskan di dalam entry akan datang.

Akhir sekali, terima kasih kepada kakak yang sudi membantu untuk menghantar dan menjemput saya di Parlimen pada pagi tersebut. Walaupun dihambat oleh tuntutan tugas yang dipikul tetapi kakak tetap sudi menolong saya supaya memastikan temubual ini dapat dilakukan pada masa dan hari yang dijanjikan. Sekian saja untuk kali ini.














1 comment:

affanazami said...

Sama-sama Pejan. Cant wait to read ur analysis on it!