Wednesday, April 30, 2008

Hentikan Polemik Ketuanan Melayu

Selepas pilihan raya umum yang lalu, isu ketuanan Melayu merupakan antara isu yang menjadi topik paling hangat diperdebatkan di pelbagai forum dan lapangan hingga kini. Memanglah isu yang berkaitan dengan agenda Melayu seringkali menjadi topik yang paling mudah untuk dipolemikkan dalam kerangka masyarakat Malaysia yang berbilang kaum hari ini. Apa yang lebih meresahkan, isu ketuanan Melayu ini juga tidak terlepas daripada menjadi isu politik di kalangan pemimpin parti-parti politik yang akhirnya lebih menimbulkan keserabutan di dalam masyarakat khususnya generasi pewaris yang rata-rata masih kurang memahami kerangka perjuangan Melayu dan latar belakang sejarahnya secara tuntas.

Persoalan yang inigin dikemukan disini ialah mengapakan setelah lebih lima dekad kita merdeka, agenda Melayu masih menjadi isu yang semacam tidak mampu diselesaikan? Apakah kuasa yang ada di tangan orang Melayu sekadar retorik yang menanti saat untuk ditalkinkan? Atau orang Melayu sendiri belum benar-benar memahami dan menghargai hak keistimewaan mereka sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan? Di kalangan orang Melayu sendiri pun ramai yang masih keliru dan gagal memahami konteks agenda Melayu yang cuba diketengahkan. Di satu pihak, isu Melayu semacam tidak mahu dibincangkan kerana seolah-olah tidak relevan dengan suasana dunia global hari ini yang begitu mengagung-agungkan prinsip kesamarataan dan kebebasan hak asasi manusia.

Ada juga yang berpandangan perbincangan mengenai Melayu adalah satu yang bertentangan dengan Islam kerana ia mencerminkan sifat asobiah jahiliah yang sesat. Malah tidak kurang juga yang cuba untuk menjadi "hero" Melayu dengan mengutarakan pandangan-pandangan melampau yang akhirnya terjerat dalam kerangkan semangat kebangsaan sempit yang lompong dari segi makna dan nilainya. Melihatkan pelbagai kecelaruan perspektif yang timbul, maka tidak hairanlah ada pihak yang cuba menangguk di air keruh sehingga berani mengeluarkan pelbagai tuntutan yang mencabar kontrak sosial yang disepakati sekian lama sebelum ini. Malah ada yang berani mencabar hak keistimewaan orang Melayu dengan mengesyorkan pelbagai pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan termasuk yang menyentuh soal agama Islam atas nama kesamarataan.

Dalam keadaan ramai yang mulai mencabar hak keistimewaan Melayu ini pun, masih ramai orang Melayu yang tidak juga sedar diri dan berterusan terbelenggu dengan penyakit yang diistilahkan sebagai "mati rasa". Penyakit "mati rasa" yang semakin merebak ini menggambarkan betapa orang Melayu sudah mulai hilang rasa sensitif dan peduli terhadap isu yang menyentuh masa depan mereka sendiri. Mungkin orang Melayu sudah lama hidup dalam zon selesa dengan tanggapan kononya hak dan keistimewaan mereka akan sentiasa terbela dan dipertahankan buat selama-lamanya. Sebab itulah orang Melayu lebih sibuk memperdebatkan isu remeh-temeh daripada memperbincangkan agenda besar yang mampu mengangkat martabat mereka. Orang Melayu juga lebih cenderung membincangkan soal kuasa dan harta sehingga malupakan soal-soal yang lebih fundamental seperti menabur budi dan jasa.

Akibatnya mereka lebih rela bercakaran sesama sendiri daripada menggembleng tenaga mencari titik-titik persamaan yang boleh menjamin masa depan generasi pewaris bangsa. Kita harus ingat bahawa tidak ada jaminan sesuatu bangsa dapat mengekalkan kuasa dan kedaulatannya semata-mata beralasankan mereka adalah peribumi yang menempati tanah pusaka nenek moyang. Tidak ada jaminan juga ungkapan keramat Laksamana Hang Tuah " Tak akan Melayu hilang di dunia". Hal ini kerana ungkapan itu hanyalah retorik semata-mata, maka kita perlu sedar akannya. Namun begitu yang menjadi persoalan ini lebih rumit ialah mengapakah Parti UMNO yang kononnya memperjuangkan orang Melayu hanya membiarkan orang Melayu terus dibelenggu dilemma yang tidak berkesudahan (Rujuk Mahathir Mohamad; Malay Dilemma).

Di samping itu, kegagalan kesemua sayap Pemuda, Puteri serta Putera gagal menyediakan program berkesan serta tidak sensitif dalam menangani isu orang muda khususnya apabila melibatkan orang Melayu. Mereka lebih utamakan program-program yang mengejar nama semata-mata seperti terjun di Antartika serta merenangi Selat Melaka. Program-program sebegini tidak memberi faedah tarhadap usaha menangani masalah orang muda khususnya di kalangan orang Melayu sendiri seperti pengangguran dan bebanan membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Pemuda UMNO sewajarnya menggunakan jaringan yang baik dalam mengatasi isu-isu yang berkaitan dengan orang Melayu dan bukannya dengan langkah terburu-buru yang akhirnya tidak mendatangkan apa-apa faedah. Kita boleh lihat di mana program terjunan di Antartika anjuran Putara Umno yang melibatkan beberapa "mat rempit". Apakah semua ini? Jika kita hendak mendisiplinkan meraka, bukan ini caranya. Program ini hanyalah satu program yang "bodoh" serta hanya membazirkan duit rakyat samata-mata. Berapa juta wang rakyat yang telah dibazirkan untuk menganjurkan program sebegini? Tidakkah mereka pernah terfikir sekiranya sejumlah wang yang besar itu digunakan untuk menganjurkan program-program yang dapat memantapkan dan mempertingkatkan jati diri orang Melayu serta mengatasi masalah-masalah pelajar IPT khususnya dikalangan pelajar Melayu untuk meringankan beban mereka untuk membayar beban hutang pinjaman IPT. Bukankan ini lebih berfaedah?. Oleh itu, sama-samalah kita fikirkan kembali di mana salah dan silapnya sikap kita sebagai orang Malayu.

Thursday, April 24, 2008

Realiti Islam Dan Politik Di Malaysia

Di dalam Malaysia, aplikasi politik dan Islam agak kontroversi dan terdapat pelbagai polemik di antara dua parti dominan di Malaysia iaitu UMNO dan PAS berkenaan persoalan politik dan Islam. Kedua-dua parti ini mewakili bangsa Melayu yang secara rasminya menurut perlembagaan Malaysia adalah turut beragama Islam. Polemik yang tercetus adalah berkenaan dengan Islam di dalam politik. Parti UMNO yang berpegang teguh dengan prinsip nasionalisme menyatakan adalah sesuatu yang mencemar kesucian Islam apabila digunakan didalam parti politik kerana menurut mereka, Islam dan politik tidak boleh dicampur adukkan (Jamaie:2005). Namun realitinya, di dalam Islam itu sendiri terkandung prinsip-prinsip politik. Kerana Islam bukan sekadar akidah, tetapi juga merupakan suatu sistem hidup yang lengkap mencakupi sistem ekonomi dan politik. Lukhman(1998), menghujahkan bahawa prinsip siyasah syariah itu sendiri mengandungi prinsip politik yang dipandukan oleh wahyu. Ini kerana menurut beliau, siyasah beretimologikan perkataan “yasusu” yang mana jika digunapakai kepada binatang ternakan membawa maksud membela dan memeliharanya, manakala jika digunapakai kepada manusia, ia membawa pengertian menjaga hal ehwal pentadbiran dan kepentingan masyarakat. Manakala siayasah pula dipandukan oleh wahyu iaitu syariah, yang bertujuan agar pemerintahan itu berlandaskan hukum ALLAH S.W.T. Ini sekaligus menolak hujah yang mengatakan bahawa Islam tidak boleh dicampurkan dengan politik.

Sistem politik di Malaysia yang sudah sebati dengan terminologi liberalisme, iaitu prinsip sekularisme di dalam politik . Oleh itu, kebanyakan ahli politik di Malaysia pasca merdeka 1957 yang berpendidikan Inggeris, tidak memahami prinsip politik di dalam Islam. Aplikasi prinsip sekularisme ini berlanjutan sehinggalah kepada pentadbiran yang terkini. Pada tahun 2003, Dr Mahathir Mohammad selaku Perdana Menteri Malaysia telah mengistiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Namun perkara ini secara teorinya bertentangan dengan prinsip politik Islam itu sendiri. Ini kerana, pengistiharan tersebut sekadar menjawab polemik yang berlaku diantara beliau dengan Al-marhum Dato Fadzil Noor berkenaan isu negara Islam. Secara teorinya, pengistiharan tersebut adalah tidak benar sama-sekali, kerana ia bercanggah dengan prinsip Islam yang sebenar. Kerana perlembagaan Malaysia masih menyatakan Islam merupakan agama rasmi sahaja dan bukan terkandung didalam amalan pentadbiran negara. Lukhman(1998) menyatakan sumber perundangan dan pentadbiran Islam adalah berasaskan kepada Al-Quran, As-Sunnah, Ijmak Ulama dan Qias, manakala di dalam perlembagaan Malaysia pula secara terang-terangan berpaksikan hukum pentadbiran sekular yang diceduk daripada sistem westminister di England. Ini secara tidak langsung menafikan pengistiharan yang dibuat oleh mantan Perdana Menteri Malaysia tersebut.

Aplikasi Islam di dalam pentadbiran politik di Malaysia secara amnya tidak menyeluruh dan hanya bersifat menjawab polemik politik sahaja. Sebagai contoh, kepimpinan Malaysia yang terkini, mengagaskan prinsip Islam Hadhari yang dikatakan sebagai aplikasi panduan kepada pentadbiran Malaysia. Prinsip Islam Hadhari yang mengandungi 10 tonggak, secara amnya merupakan usaha-usaha kerajaan di dalam mempraktikan Islam ke dalam pentadbiran. Namun, ia hanyalah satu retorik politik sahaja dan bukan aplikasi politik Islam yang sebenarnya. Ini kerana prinsip Islam Hadhari secara teorinya tidak mengarah kepada perlaksanaan syariah yang sebenar dan hanya merupakan ulangan kepada dasar Islamisasi ketika era Mahathir (Jamaie:2005).
Apa yang berlaku ialah, amalan sekularisme oleh pentadbiran terdahulu masih diteruskan.

Perlaksanaan Islam yang lemah di Malaysia juga mengundang kepada kesilapan demi kesilapan kepada pentadbiran negara. Akibat dari pembahagian Islam dan politik, terjadi beberapa peristiwa yang mengoncang akidah umat Islam di Malaysia. Antara yang terbaru ialah gesaan penubuhan suruhanjaya antara agama oleh badan bukan kerajaan yang berpaksikan prinsip humanisme. Suruhanjaya Antara Agama(IFC) yang mendukung perkara 11(1) iaitu kebebasan beragama dikalangan rakyat Malaysia lantang menyuarakan usaha-usaha humanisme yang inginkan tiada gesaan dan kekangan di dalam beragama di Malaysia. Usaha-usaha oleh jawatankuasa hak asasi manusia majlis peguam Malaysia dan pertubuhan agama-agama lain yang bukan Islam berusaha menaja penubuhan IFC. Implikasi kepada penubuhan IFC ini ialah, akan berlaku gejala murtad dikalangan umat Islam dan gesaan IFC agar artikel 121(1A) yang melindungi kuasa mahkamah syariah agar dimansuhkan merupakan malapetaka kepada umat Islam. Akibat daripada umat Islam yang sudah terbiasa dengan prinsip sekularisme, ramai yang menyokong penubuhan IFC dengan alasan ia meupakan hak peribadi individu.

Jika dilihat secara ilmiah, peristiwa sebegini berlaku adalah kesan daripada kegagalan aplikasi Islam di dalam iklim politik Malaysia. Ini bertepatan dengan peringatan oleh analisis Maududi (1969) yang menghujahkan betapa perlunya dibentuk perlembagaan negara yang berpaksikan kepada prinsip-prinsip syariah agar akidah umat terpelihara. Gesaan ini bukan bertujuan dari segi kepentingan politik sahaja, tetapi juga dari aspek akidah, di mana penggubalan perlembagaan dilihat sebagai melindungi kelangsungan Islam didalam negara. Selain itu, aplikasi Islam dan politik di Malaysia juga tidak selari di antara satu sama lain. Hujah yang jelas ialah tiadanya implimentasi syariah keatas rakyat. Ini kerana, Malaysia yang mengamalkan undang-undang sekular sama sekali tidak mengamalkan prinsip-prinsip syariah didalam pentadbiran. Akibat daripada ini, umat Islam sama sekali terdedah kepada kerosakan akidah dan moral akibat perlaksanaan hukum manusia yang mengatasi hukum Tuhan. Oleh itu adalah tepat sama sekali analisis yang Malaysia tidak sama sekali merupakan sebuah negara Islam.