Thursday, April 24, 2008

Realiti Islam Dan Politik Di Malaysia

Di dalam Malaysia, aplikasi politik dan Islam agak kontroversi dan terdapat pelbagai polemik di antara dua parti dominan di Malaysia iaitu UMNO dan PAS berkenaan persoalan politik dan Islam. Kedua-dua parti ini mewakili bangsa Melayu yang secara rasminya menurut perlembagaan Malaysia adalah turut beragama Islam. Polemik yang tercetus adalah berkenaan dengan Islam di dalam politik. Parti UMNO yang berpegang teguh dengan prinsip nasionalisme menyatakan adalah sesuatu yang mencemar kesucian Islam apabila digunakan didalam parti politik kerana menurut mereka, Islam dan politik tidak boleh dicampur adukkan (Jamaie:2005). Namun realitinya, di dalam Islam itu sendiri terkandung prinsip-prinsip politik. Kerana Islam bukan sekadar akidah, tetapi juga merupakan suatu sistem hidup yang lengkap mencakupi sistem ekonomi dan politik. Lukhman(1998), menghujahkan bahawa prinsip siyasah syariah itu sendiri mengandungi prinsip politik yang dipandukan oleh wahyu. Ini kerana menurut beliau, siyasah beretimologikan perkataan “yasusu” yang mana jika digunapakai kepada binatang ternakan membawa maksud membela dan memeliharanya, manakala jika digunapakai kepada manusia, ia membawa pengertian menjaga hal ehwal pentadbiran dan kepentingan masyarakat. Manakala siayasah pula dipandukan oleh wahyu iaitu syariah, yang bertujuan agar pemerintahan itu berlandaskan hukum ALLAH S.W.T. Ini sekaligus menolak hujah yang mengatakan bahawa Islam tidak boleh dicampurkan dengan politik.

Sistem politik di Malaysia yang sudah sebati dengan terminologi liberalisme, iaitu prinsip sekularisme di dalam politik . Oleh itu, kebanyakan ahli politik di Malaysia pasca merdeka 1957 yang berpendidikan Inggeris, tidak memahami prinsip politik di dalam Islam. Aplikasi prinsip sekularisme ini berlanjutan sehinggalah kepada pentadbiran yang terkini. Pada tahun 2003, Dr Mahathir Mohammad selaku Perdana Menteri Malaysia telah mengistiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Namun perkara ini secara teorinya bertentangan dengan prinsip politik Islam itu sendiri. Ini kerana, pengistiharan tersebut sekadar menjawab polemik yang berlaku diantara beliau dengan Al-marhum Dato Fadzil Noor berkenaan isu negara Islam. Secara teorinya, pengistiharan tersebut adalah tidak benar sama-sekali, kerana ia bercanggah dengan prinsip Islam yang sebenar. Kerana perlembagaan Malaysia masih menyatakan Islam merupakan agama rasmi sahaja dan bukan terkandung didalam amalan pentadbiran negara. Lukhman(1998) menyatakan sumber perundangan dan pentadbiran Islam adalah berasaskan kepada Al-Quran, As-Sunnah, Ijmak Ulama dan Qias, manakala di dalam perlembagaan Malaysia pula secara terang-terangan berpaksikan hukum pentadbiran sekular yang diceduk daripada sistem westminister di England. Ini secara tidak langsung menafikan pengistiharan yang dibuat oleh mantan Perdana Menteri Malaysia tersebut.

Aplikasi Islam di dalam pentadbiran politik di Malaysia secara amnya tidak menyeluruh dan hanya bersifat menjawab polemik politik sahaja. Sebagai contoh, kepimpinan Malaysia yang terkini, mengagaskan prinsip Islam Hadhari yang dikatakan sebagai aplikasi panduan kepada pentadbiran Malaysia. Prinsip Islam Hadhari yang mengandungi 10 tonggak, secara amnya merupakan usaha-usaha kerajaan di dalam mempraktikan Islam ke dalam pentadbiran. Namun, ia hanyalah satu retorik politik sahaja dan bukan aplikasi politik Islam yang sebenarnya. Ini kerana prinsip Islam Hadhari secara teorinya tidak mengarah kepada perlaksanaan syariah yang sebenar dan hanya merupakan ulangan kepada dasar Islamisasi ketika era Mahathir (Jamaie:2005).
Apa yang berlaku ialah, amalan sekularisme oleh pentadbiran terdahulu masih diteruskan.

Perlaksanaan Islam yang lemah di Malaysia juga mengundang kepada kesilapan demi kesilapan kepada pentadbiran negara. Akibat dari pembahagian Islam dan politik, terjadi beberapa peristiwa yang mengoncang akidah umat Islam di Malaysia. Antara yang terbaru ialah gesaan penubuhan suruhanjaya antara agama oleh badan bukan kerajaan yang berpaksikan prinsip humanisme. Suruhanjaya Antara Agama(IFC) yang mendukung perkara 11(1) iaitu kebebasan beragama dikalangan rakyat Malaysia lantang menyuarakan usaha-usaha humanisme yang inginkan tiada gesaan dan kekangan di dalam beragama di Malaysia. Usaha-usaha oleh jawatankuasa hak asasi manusia majlis peguam Malaysia dan pertubuhan agama-agama lain yang bukan Islam berusaha menaja penubuhan IFC. Implikasi kepada penubuhan IFC ini ialah, akan berlaku gejala murtad dikalangan umat Islam dan gesaan IFC agar artikel 121(1A) yang melindungi kuasa mahkamah syariah agar dimansuhkan merupakan malapetaka kepada umat Islam. Akibat daripada umat Islam yang sudah terbiasa dengan prinsip sekularisme, ramai yang menyokong penubuhan IFC dengan alasan ia meupakan hak peribadi individu.

Jika dilihat secara ilmiah, peristiwa sebegini berlaku adalah kesan daripada kegagalan aplikasi Islam di dalam iklim politik Malaysia. Ini bertepatan dengan peringatan oleh analisis Maududi (1969) yang menghujahkan betapa perlunya dibentuk perlembagaan negara yang berpaksikan kepada prinsip-prinsip syariah agar akidah umat terpelihara. Gesaan ini bukan bertujuan dari segi kepentingan politik sahaja, tetapi juga dari aspek akidah, di mana penggubalan perlembagaan dilihat sebagai melindungi kelangsungan Islam didalam negara. Selain itu, aplikasi Islam dan politik di Malaysia juga tidak selari di antara satu sama lain. Hujah yang jelas ialah tiadanya implimentasi syariah keatas rakyat. Ini kerana, Malaysia yang mengamalkan undang-undang sekular sama sekali tidak mengamalkan prinsip-prinsip syariah didalam pentadbiran. Akibat daripada ini, umat Islam sama sekali terdedah kepada kerosakan akidah dan moral akibat perlaksanaan hukum manusia yang mengatasi hukum Tuhan. Oleh itu adalah tepat sama sekali analisis yang Malaysia tidak sama sekali merupakan sebuah negara Islam.


1 comment:

Anonymous said...

salam

for my own opinion I believe that Islam in Malaysia has been relegated and sidelined to act as a mere religion and adat. This contradict the notion that Islam is the way of life.

Personally I wish I can see the rule of Islam be done in Malaysia when I am still alive. But I admit that such realization may be difficult.

Nevertheless we as Muslim need to fight for that realisation with whatever effort we can do.

visit my blog..
http://asrilamirul.wordpress.com/

care to link our blogs?