Friday, March 21, 2008

Pasca Pilihan Raya...


Keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) yang berlangsung 8 Mac lalu masih terus diperkatakan masyarakat sekeliling kita. Tambahan pula, dengan keputusan mengejut 4 buah negeri jatuh ke tangan pembangkang (Kedah,P.Pinang,Perak,Selangor) dan Kelantan masih lagi kekal di tangan PAS serta BN kehilangan majoriti 2/3 kerusi parlimen yang pertama kalinya berlaku dalam sejarah negara kita. Tambah tragis lagi apabila gaint killer dalam BN tumbang satu persatu kepada calon parti pembangkang seperti Samy Vellu, Zainudin Maidin, Shahrizat Abdul Jalil, Zainal Abidin Osman, Koh Tsu Koon, Aziz Samsudin dan ramai lagi jika hendak disebut satu persatu. Kini beberapa negeri lagi masih bergelut soal perlantikan Menteri Besar (MB) seperti Perlis (sudah selesai) dan Terengganu.

Pada pandangan saya, kita semua perlu bersedia dengan segala perubahan yang berlaku kerana semua itu ialah pilihan rakyat. Suka atau tidak, kita sebagai rakyat perlu menerima dengan hati yang terbuka untuk tempoh 5 tahun ini. Kita samada selaku penyokong atau calon daripada parti pembangkang mahupun kerajaan perlu akur kepada keputusan PRU12 ini. Hal ini kerana Pilihan Raya merupakan manifestasi rakyat di dalam politik yang bertujuan untuk memilih calon dan pemimpin yang mereka suka. Keputusan PRU12 ini juga menandakan bahawa rakyat telah meluahkan apa yang mereka pendam selama tempoh 5 tahun yang lalu di bawah pemerintahan BN. Hal ini kerana saban hari kita dapat melihat bagaimana rakyat semakin terbeban dengan kenaikan harga minyak dan harga barang yang melambung tinggi. Walaupun hal ini mungkin berpunca dari kuasa pasaran tetapi rakyat mahukan penjelasan daripada pihak kerajaan ekoran keadaan ini. Jika kita memikirkan secara logik akal, apakah ertinya pembangunan jikalau rakyat masih dibebani dengan kenaikan kos hidup dan barangan keperluan??

Walau apapun pendapat yang diberikan tentang keputusan PRU12, tapi sudah jelas bahawa satu lembaran baru untuk politik Malaysia telah bermula. Kepada pemimpin yang telah diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah perlu bermula dengan langkah kanan iaitu melunaskan segala janji yang telah ditabur semasa tempoh berkempen yang lalu dalam tempoh 5 tahun ini. Disamping itu, mereka perlu memastikan negara dan semua negeri akan ditadbir dengan baik dan terurus berlandaskan kepentingan rakyat dan bukannya diatas kepentingan pihak tertentu dan untuk kepentingan sendiri sahaja. Apa yang saya harapkan ialah arus perubahan ini memberi manfaat kepada rakyat secara amnya. Disamping itu, inilah peluang kepada parti pembangkang untuk membuktikan kemampuan mereka untuk membela nasib rakyat dan mentadbir negeri dengan lebih cekap. Manakala ini juga peluang kepada BN untuk memperbaiki kelemahan yang ada dan meningkatkan kualiti pentadbiran mereka untuk menambat semula hati rakyat untuk PRU13 nanti supaya luka pada PRU12 ini tidak bernanah kembali. Namun begitu, apa yang bermain di fikiran saya ketika menghasilkan artikel ini ialah adakah keputusan PRU12 ini merupakan klimaks kepada kejayaan Barisan Pembangkang ataupun klimaks kepada perjuangan BN sendiri..sama-samalah kita lihat senario politik Malaysia dalam tempoh 5 tahun ini dan juga keputusan pilihan raya pada PRU13 nanti.

2 comments:

Dr Dre said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Faizal said...
This comment has been removed by the author.