Saturday, January 23, 2010

Ulasan Buku : Saya Pun Melayu.


Saya sebenarnya berkira-kira hendak menulis berkaitan isu ‘penggunaan kalimah Allah" dalam entry pada kali ini, tetapi terpaksa saya tangguhkan kerana tertarik untuk mengulas buku ‘Saya Pun Melayu’ yang ditulis oleh Zaid Ibrahim.

Saya amat menghargai tulisan Zaid Ibrahim dalam bukunya ini kerana apa yang ditulis oleh beliau itu adalah selari dengan apa yang saya impikan di hati nulari saya tentang politik Negara kita ini.


Saya rasa Zaid telah meluahkan apa yang terbuku di dalam hatinya secara terbuka berkaitan ‘salah laku’ dan amalan buruk yang telah dilakukan oleh orang-orang politik tanah air, samada dari parti yang menjadi pemerintah mahupun yang menjadi parti pembangkang.
Sebagai seorang yang faham selok belok undang-undang tentu Zaid tahu risiko yang bakal beliau terima bila menulis perkara-perkara yang dituduh oleh sesetengah pihak sebagai sensitif seperti isu Raja Melayu, hubungan kaum, institusi agama, keistimewaan orang Melayu dan ketuanan Melayu.

Tidak hairanlah kalau Raja Muda Perak Raja Nazrin Shah dalam ucapannya pada pelancaran buku terjemahan kisah Barack Obama di Institut Terjemahan Negara baru-baru ini, telah menyelar buku-buku picisan politik yang menangguk di air keruh, yang secara langsung kata-kata ini mungkin ditujukan untuk membidas buku yang ditulis oleh Zaid ini. Ini tidak dapat disangkal kerana dalam buku tersebut Zaid memang ada menyentuh secara terbuka krisis politik di Perak dan bagaimana keputusan yang telah dibuat oleh Sultan Perak telah menimbulkan kontraversi kepada orang ramai.

Saya percaya, bukan saya dan Zaid sahaja orang-orang Melayu yang mempunyai pandangan yang sama tentang bagaimana amalan-amalan dan sikap yang perlu dihayati dalam mengurus dan mentadbir negara kita yang tercinta ini, untuk kesejahteraan semua rakyat. Malah berjuta lagi manusia di luar sana mempunyai aspirasi yang sama seperti beliau. Zaid mempunyai pegangan yang kuat kepada demokrasi yang bertunjangkan kepada integriti, amalan baik dan selaras dengan nilai-nilai agama harus menjadi amalan Negara. Dengan ini sahaja kita akan dapat membentuk rakyat yang berjiwa bebas, kreatif dan dapat memacu tamadun yang gemilang.

Kehadiran buku Zaid ini umpama empangan yang telah pecah, apabila empangan pecah, tidak ada siapa yang boleh menghalang air yang deras dari membuak-buak keluar, selain dari sekadar mampu melihat sahaja. Semua hati nurani rakyat Malaysia sekarang ini sebenarnya sedang menuju kearah apa yang diimpikan oleh Zaid ini. Memang kita tidak mampu membendungnya lagi. UMNO harus mengambil teguran dan pandangan Zaid dalam bukunya ini sebagai panduan untuk mereka melakukan perubahan, kalau benar-benar UMNO mahu kepada perubahan. Tetapi Kalau UMNO menganggap pandangan Zaid yang ‘pedas’ itu sebagai pandangan musuh yang ingin menghancurkan UMNO, maka ini langkah yang amat silap.

Kalau ikut perkiraan saya, buku Zaid ini mungkin tidak berapa disenangi oleh pemimpin-pemimpin UMNO, apatah lagi pemimpin UMNO seperti Rais Yatim yang terkenal sebagai seorang menteri Melayu Klasik itu, sudah tentu tidak teragak-agak untuk mengharamkan buku ‘Saya Pun Melayu’ Zaid Ibrahim ini. Adalah satu perkara biasa kalau Martin Luther King seorang kulit hitam memperjuangkan hak-hak kaumnya dari ditindas oleh kaum kulit putih yang majoriti. Tetapi adalah perkara yang luar biasa dan patut sangat kita hargai kepada Abraham Lincoln, seorang kulit putih dari kaum yang majoriti, telah membela kaum kulit hitam yang minoriti untuk diberi persamaan hak.

Sebagai orang yang datang dari kaum yang majoriti, tentu tidak akan merugikan diri beliau kalau tidak mahu membela hak orang kulit hitam, tetapi nilai-nilai yang mulia yang dimiliki oleh Abraham Lincoln itulah yang telah membuatkan beliau berasa bersalah kalau tidak melakukannya. Saya yakin buku Zaid ini akan memberi impak yang besar kepada senerio politik dan persepsi masyarakat Malaysia pada masa akan datang ini. Buku ini memang patut dibaca oleh semua orang rakyat Malaysia. Secara berani dan jujur, Zaid telah mengupas perkara-perkara yang selama ini dianggap terlalu sensitif oleh sesetengah pihak.

Buku Zaid ini benar-benar menguji sejauh mana keterbukaan rakyat Malaysia ketika ini dalam memberi pandangan dapat diterima oleh pemerintah.