Friday, March 21, 2008

Pasca Pilihan Raya...


Keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) yang berlangsung 8 Mac lalu masih terus diperkatakan masyarakat sekeliling kita. Tambahan pula, dengan keputusan mengejut 4 buah negeri jatuh ke tangan pembangkang (Kedah,P.Pinang,Perak,Selangor) dan Kelantan masih lagi kekal di tangan PAS serta BN kehilangan majoriti 2/3 kerusi parlimen yang pertama kalinya berlaku dalam sejarah negara kita. Tambah tragis lagi apabila gaint killer dalam BN tumbang satu persatu kepada calon parti pembangkang seperti Samy Vellu, Zainudin Maidin, Shahrizat Abdul Jalil, Zainal Abidin Osman, Koh Tsu Koon, Aziz Samsudin dan ramai lagi jika hendak disebut satu persatu. Kini beberapa negeri lagi masih bergelut soal perlantikan Menteri Besar (MB) seperti Perlis (sudah selesai) dan Terengganu.

Pada pandangan saya, kita semua perlu bersedia dengan segala perubahan yang berlaku kerana semua itu ialah pilihan rakyat. Suka atau tidak, kita sebagai rakyat perlu menerima dengan hati yang terbuka untuk tempoh 5 tahun ini. Kita samada selaku penyokong atau calon daripada parti pembangkang mahupun kerajaan perlu akur kepada keputusan PRU12 ini. Hal ini kerana Pilihan Raya merupakan manifestasi rakyat di dalam politik yang bertujuan untuk memilih calon dan pemimpin yang mereka suka. Keputusan PRU12 ini juga menandakan bahawa rakyat telah meluahkan apa yang mereka pendam selama tempoh 5 tahun yang lalu di bawah pemerintahan BN. Hal ini kerana saban hari kita dapat melihat bagaimana rakyat semakin terbeban dengan kenaikan harga minyak dan harga barang yang melambung tinggi. Walaupun hal ini mungkin berpunca dari kuasa pasaran tetapi rakyat mahukan penjelasan daripada pihak kerajaan ekoran keadaan ini. Jika kita memikirkan secara logik akal, apakah ertinya pembangunan jikalau rakyat masih dibebani dengan kenaikan kos hidup dan barangan keperluan??

Walau apapun pendapat yang diberikan tentang keputusan PRU12, tapi sudah jelas bahawa satu lembaran baru untuk politik Malaysia telah bermula. Kepada pemimpin yang telah diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah perlu bermula dengan langkah kanan iaitu melunaskan segala janji yang telah ditabur semasa tempoh berkempen yang lalu dalam tempoh 5 tahun ini. Disamping itu, mereka perlu memastikan negara dan semua negeri akan ditadbir dengan baik dan terurus berlandaskan kepentingan rakyat dan bukannya diatas kepentingan pihak tertentu dan untuk kepentingan sendiri sahaja. Apa yang saya harapkan ialah arus perubahan ini memberi manfaat kepada rakyat secara amnya. Disamping itu, inilah peluang kepada parti pembangkang untuk membuktikan kemampuan mereka untuk membela nasib rakyat dan mentadbir negeri dengan lebih cekap. Manakala ini juga peluang kepada BN untuk memperbaiki kelemahan yang ada dan meningkatkan kualiti pentadbiran mereka untuk menambat semula hati rakyat untuk PRU13 nanti supaya luka pada PRU12 ini tidak bernanah kembali. Namun begitu, apa yang bermain di fikiran saya ketika menghasilkan artikel ini ialah adakah keputusan PRU12 ini merupakan klimaks kepada kejayaan Barisan Pembangkang ataupun klimaks kepada perjuangan BN sendiri..sama-samalah kita lihat senario politik Malaysia dalam tempoh 5 tahun ini dan juga keputusan pilihan raya pada PRU13 nanti.

Tuesday, March 18, 2008

Takrifan Keadilan Dari Kacamata Pemikir...

Keadilan didefinisikan sebagai keadaan kebenaran ideal secara moral mengenai sesuatu hal yang berkaitan dengan benda atau individu. Para sarjana juga tidak ketinggalan dalam mengutarakan pandangan mereka mengenai keadilan. Menurut Aristotle, keadilan adalah subjek sebenar di dalam falsafah politik yang mana pelaksanaannya adalah tugas dan tanggungjawab utama sebarang polis (negara kota). Keadilan menurut Islam pula ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya berdasarkan ketentuan syarak.


Selain itu, John Rawls, iaitu ahli falsafah Amerika Syarikat menyatakan bahawa keadilan adalah kesaksamaan iaitu saksama yang tiada wujudnya diskriminasi atau pengistimewaan. Beliau telah menerbitkan banyak artikel dan ulasan rencana. Artikel beliau telah membawa kepada dua buah buku yang sangat berpengaruh iaitu A Theory of Justice (1971) dan Political Liberalism (1993). Beliau amat tertarik kepada persoalan interaksi pelbagai kelompok dalam masyarakat moden demi mewujudkan sebuah masyarakat yang adil. Masalah baru yang dikemukakan oleh Rawls dalam perbincangannya tentang politik liberal moden ialah persoalan bagaimana mencapai sesebuah masyarakat yang stabil dan saksama, iaitu sesebuah masyarakat yang menyanjungi prinsip demokrasi berpelembagaan, walaupun mereka dipisahkan oleh doktrin-doktrin agama, falsafah dan moral yang masing-masingnya unggul tetapi bertentangan antara satu sama lain. Faktor seperti ini kerap menjadi punca kehancuran kestabilan sesebuah masyarakat.


Dalam konteks ini, Rawls mengenengahkan cara penyelesaian atau preskripsi yang tidaklah baru atau radikal. Beliau mengajak kita berfikiran rasional dan menerima hakikat bahawa setiap seseorang daripada kita perlu melindungi hak dan kesejahteraan orang lain sebagaimana kita ingin hak dan kesejahteraan kita dilindungi. Beliau juga mengemukakan idea ini melalui konsep yang dinamakan “ the viel of ignorance” atau selubung kejahatan iaitu satu situasi individu yang terlibat tidak mengetahui bagaimana keputusan yang mereka buat itu akan meninggalkan kesan ke atas diri mereka sendiri. Hakikat ini, menurut Rawls akan menyebabkan mereka prihatin dan bersikap rasional dalam membuat sebarang keputusan.


Selain itu, di dalam memperkatakan tentang keadilan juga, Aristotle telah membahagikan keadilan kepada dua spektrum iaitu Commutative Justice dan Distributive Justice. Commutative Justice ialah layanan yang patut diberikan kepada seseorang dalam sesuatu keadaan, iaitu memberi kepada seseorang apa yang sepatutnya dia terima. Hal ini lebih digunakan dalam mengatur hubungan sesama manusia. Manakala, Distributive Justice pula ialah pengagihan barangan di kalangan satu-satu kumpulan atau kelas. Pengagihan ini memberikan layanan yang sama rata kepada semua kelas. Justeru itu, dapatlah disimpulkan bahawa keadilan adalah situasi
apabila seseorang diberikan layanan yang sama rata dalam masyarakat tanpa ada diskriminasi, namun begitu ianya mestilah dikawal oleh badan yang diiktiraf yakni negara.

Monday, March 17, 2008

Sajak Sebelum Pilihan Raya..

Mereka yang layak mengundi
baik wanita atau lelaki
jangan lupa pergi awal pagi
tanggal 8 Mac nanti
tunaikan tanggungjawab anda
sebagai rakyat yang setia
menjunjung perlembagaan negara

Undi anda adalah rahsia
yang tahu anda dan Allah saja
pangkahlah dengan bijaksana
pilih calon yang berwibawa
jujur dan amanah orangnya
boleh membela bangsa dan agama
serta tahu dosa pahala

Jangan tersilap pangkah
nanti sesal tak sudah
nak pangkah bacalah Bismillah
semoga Allah tunjukkan arah
pilih calon yang ada maruah
sentiasa takut kepada Allah
jadi YB kerana amanah
untuk mensejahterakan ummah
bukan untuk bermegah-megah

Selamat mangundi
semoga selepas 8 Mac nanti
dengan undi yang anda beri
harga minyak tidak naik lagi
hanga barang tidak melambung tinggi.

Sindrom Hiburan Murahan

Dari kacamata saya,apa-apa sahaja bentuk hiburan jenama luar terutamanya yang berasal dari Barat, kerap di bawa masuk ke negara ini dan ditiru tanpa menilai terlebih dahulu baik dan buruknya. Barangkali semua ini merupakan citra masyarakat maju yang berpegang kepada prinsip Islam Hadhari yang bakal menjadi kebanggaan negara ini pada tahun 2020 nanti. Sejak beberapa tahun lalu, kita dapat lihat stesen-stesen TV nasional dan swasta berlumba-lumba menyiarkan program realiti TV bercorak hiburan interaktif yang berakar umbi dari Barat. Program ini dikenali dengan pelbagai nama seperti Akademi Fantasia (AF), Malaysian Idol, Audition dan lain-lain nama yang diberi untuk memancing penonton.

Rancangan-rancangan sebegini kebiasaannya mendapat respon yang luar biasa daripada pelbagai lapisan dalam masyarakat kita hari ini. Generasi muda berlumba-lumba menyertai program ini kerana dianggap boleh merealisasikan impian mereka untuk bergelar penghibur. Para penonton pula turut terbuai oleh emosi yang keterlaluan, menyaksikan lakonan peserta yang kadangkala acap kali dibuat-buat. Aksi peserta berpelukan antara lelaki dan wanita sangat memualkan penonton yang boleh berfikir dengan menggunakan akal ketika menonton rancangan tersebut. Akan tetapi,saya ingin menegaskan bahawa pandangan ini bukanlah bersifat antihiburan yang melulu, tetapi sekadar memberikan pandangan untuk menjernihkan keadaan dan apa yang saya harapkan pada masa hadapan biarlah program hiburan yang mengisi ruang media di negara ini sesuai dengan jiwa dan roh kita. Terkenang saya kepada pepatah Arab ada menyebut, "Menangguk apa-apa sahaja yang timbul di permukaan yang keruh bukanlah tindakan yang bijak tetapi selalunya merugikan".