Thursday, August 21, 2008

Isu UiTM : Berbicara Secara Matang Dan Rasional

Dalam jangka waktu 2 minggu lepas, hampir dan saban hari kita semua dapat melihat di ruang-ruang media nasional mengulas berkenaan mengenai isu kuota kemasukkan pelajar ke UiTM selepas Tan Sri Khalid Ibrahim menyatakan pendapat serta hasratnya untuk membuka 10 kuota kemasukkan pelajar bukan Bumiputra ke dalam institusi tersebut. Pandangan Tan Sri Khalid Ibrahim ini jika diperhalusi secara dasarnya bertentangan dengan status penubuhan institusi UiTM itu sendiri iaitu eksklusif hanya untuk anak-anak Bumiputera sahaja yang asalnya dikenali sebagai Kolej Rida, kemudiannya ditukar kepada ITM dan akhirnya kepada UiTM. Sejak penubuhannya pada tahun 1956, UiTM "Cuba" mengekalkan statusnya sebagai sebuah instutusi yang bersifat "Rasis" iaitu kepada kaum Bumiputera sahaja.

Matlamatnya adalah untuk mempertingkatkan tahap pendidikan dan kemahiran dikalangan Bumiputera di dalam semua bidang pengajian berteraskan nilai-nilai moral dan etika yang professional. Manakala objektifnya pula ialah untuk menyediakan peluang maksima kepada Bumiputera untuk mengikuti serta mendapat program pengajian professional sama ada di dalam bidang sains, industri, pentadbiran, kewangan, perniagaan, seni dan lain-lain lagi. Dalam erti kata yang mudah untuk kita semua fahami ialah UiTM merupakan lubuk ilmu untuk anak-anak Bumiputera memperoleh ilmu di dalam bidang professional sebagai bekalan sebelum menceburi alam pekerjaan.

Namun begitu, selepas Tan Sri Khalid Ibrahim menyuarakan pendapatnya mengenai kemasukkan 10% pelajar bukan Bumiputera ke dalam institusi tersebut, pihak media nasional, pemimpin-pemimpin kerajaan, pelajar-pelajar UiTM (Kampus Induk@ Cawangan) seolah-olah baru terjaga dari tidur yang panjang. Masing-masing mahu menonjol sebagai pahlawan agung yang mempertahankan keistimewaan bangsa. Merekalah yang lantang bersuara, merekalah yang berani membantah, merekalah yang sanggup berkorban, merekalah pejuang bangsa dan bermacam-macam lagi. Manakala, pihak media pula tidak pernah mengenal erti jemu dan muak untuk menyiarkan pelbagai tomahan dan kritikan daripada pelbagai pihak kepada Tan Sri Khalid Ibrahim berkenaan isu tersebut tanpa memberi peluang kepadanya untuk mempertahankan diri serta menjernihkan keadaan yang tidak keroh.

Saya berpendapat bahawa pendapat Tan Sri Khalid Ibrahim itu mempunyai asas-asas yang rasional dan kukuh. Antaranya ialah untuk meningkatkan lagi percampuran pelajar, menggalakkan persaingan, mewujudkan lebih banyak peluang melanjutkan pelajaran dan bersikap adil yang berteraskan meritokrasi. Malah ianya merupakan kenyataan ikhlas dari orang yang berminat untuk melihat pembangunan masyarakat Melayu, Bumiputera dan masyarakat keseluruhan berjaya dalam bidang yang diceburi. Dari satu sisi yang lain, ianya bukan menghina masyarakat pengajian tinggi tetapi berpositif kerana ingin bersikap global.

Walau apa pun penilaian kita semua, apa yang pasti ialah Tan Sri Khalid Ibrahim tidak mempunyai hak dan sedikit pun kuasa untuk merealisasikan hasratnya itu. Oleh itu, wajarlah kita bersikap rasional dan penuh tanggungjawab apabila menilai sesuatu isu dan mahupun sebarang pendapat yang mencabar. Malah, jika kita semua bersikap prihatin bukankan kita semua sedar bahawa UiTM pernah membuka kuotanya kepada pelajar bukan Bumiputera sedikit masa dahulu?? Siapakah yang membukanya?? Saya pasti anda tahu jawapannya. Atau kita semua baru tersedar dari tidur yang panjang setalah hak serta keistimewaan orang Melayu telah lama dipergadaikan oleh kerajaan kita sejak sekian lama demi hanya untuk kepentingan serta kompromi politik. Akhir sekali apa yang hendak saya tegaskan bahawa supaya kita semua berhati-hati dan bersikap professional apabila berhadapan sesuatu apa jua isu yang mencabar dan akhir kata jangan kerana mahu dilihat adil dan dianggap sebagai pejuang bangsa, kita sanggup menggadaikan semuanya kerana hakikatnya bangsa kita masih lemah dan terpinggir. Banyak lagi cara untuk melihat sesuatu perkara itu bersifat adil tanpa perlu menggadaikan hak yang telah kita miliki.


2 comments:

Anonymous said...

salam...

ye...aku sama sekali tidak bersetuju ngan tindakan para uitm itu..wahahha..tak profesional langsung..

Faizal said...

betul tu saudara,macam nak cari publisiti pulak..tambahan pula perhimpunan budak-budak uitm tu mendapat "perkenan" UMNO. Ibarat kerbau yang dicucuk tali..