Monday, October 27, 2008

Masih Tiada Sebarang Perubahan...Bila Lagi??

Jumaat lepas, saya menaiki tren komuter dari stesen UKM untuk ke stesen Bandar Tasik Selatan.Tempoh perjalanan yang tidak panjang tetapi cukup menyiksakan.. Itulah yang terpaksa ditempuhi oleh saya dan dikongsi bersama para penumpang lain sepanjang perjalanan tersebut. Sesak, busuk, bertolak-tolak, berebut tempat duduk dan macam-macam lagi.

Sebelum menaiki tren tersebut, saya impikan satu perubahan yang besar telah dilakukan ke atas perkhidmatan tersebut. Namun saya dapati semuanya masih ditakuk yang lama juga. Walaupun Perdana Menteri sendiri telah membuat teguran ke atas tahap perkhidmatan awam tersebut, tetapi bak kata pepatah "Masuk angin, keluar asap" itulah hakikatnya yang terpaksa kita telan bersama. Jika sebelum ini, iaitu selepas kenaikan harga minyak secara mendadak, kerajaan menyeru kita semua supaya mengubah cara hidup untuk mengatasi segala kesulitan yang ada. Antaranya alternatifnya ialah dengan menggunakan perkhidmatan awam ke tampat kerja. Namun begitu, perkhidmatan awam seperti perkhidmatan komuter tidak dapat menampung jumlah penumpang yang semakin meningkat saban hari.

Akan tetapi, yang peliknya kenapa pihak Kereta Api Tanah Melayu (KTMB) tidak melakukan sebarang penambahbaikan ke atas perkhidmatan awam tersebut. Penyebab utama kesesakan sudah ada di depan mata, iaitu tren tidak cukup gerabak untuk menampung jumlah penumpang yang semakin hari semakin banyak. Tetapi berapa lama lagi kita semua harus menanti untuk melihat masalah ini diatasi. Kalau nak cakap KTMB tidak untung, dan tidak ada modal untuk menambah bilangan gerabak adalah tersangat tidak munasabah dan tidak masuk akal sama sekali. Tak kan pihak KTMB nak tunggu sehingga ada penumpang yang maut kena pijak semasa berebut-berebut untuk masuk ke dalam tren, baru nak ambil tindakan?? Tetapi itulah kelemahan utama pengurusan di negara kita ini. Itulah hakikatnya. Selagi tidak ada kes-kes yang sensasi dan mengemparkan, selagi itulah tiada sebarang tindakan mahupun penambahbaikan yang di lakukan.

Adakah 51 tahun kemerdekaan kita ini, kita masih membincangkan soal kesesakan komuter yang tiada penghujungnya. Adakah kemerdekaan ini dapat diukur semurah itu? Sepatutnya kita tidak perlu memperbincangkan soal ini lagi. Segala aduan, komen, kritikan daripada orang ramai ke atas perkhidmatan awam tersebut ibarat seperti anjing menyalak gunung sahaja, atau apa saja yang seumpamanya. Saya masih ingat lagi antara luahan rasa kesal Perdana Menteri ke atas perkhidmatan komuter ini setelah beliau sendiri merasai nikmatnya menaiki komuter ini. pada 21 Ogos yang lalu. Antaranya ialah " Saya lihat tadi keadaan tren yang digunakan untuk penumpang setiap pagi untuk pergi kerja. Mereka sentiasa berebut-rebut bila tren tiba. Dari segi itu, ialah, nampak macam tidak ada sistem. Ini kita kena perbaiki".


Namun apa yang pasti, sehingga kini masih tiada sebarang perubahan yang dilakukan, apatah lagi kerja-kerja penambahbaikan. Apa yang diharapkan, cuma harapan kosong belaka. Bukan apa, sebab masalah ini masalah orang ramai, bukan masalah ORANG-ORANG ATASAN ATAU BAPAK-BAPAK MENTERI. Jadi tidak perlulah nak beri perhatian atau respon kepada segala aduan orang ramai. Oleh itu, apa yang saya harapkan cuma satu. Biarlah apabila Perdana Menteri kita sekarang bersara nanti, sekurang-kurangnya apabila rakyat cuba mengenang kembali segala jasa dan sumbangan Pak Lah kepada negara, rakyat akan berkata seperti ini " Kerana Pak Lah lah, kita semua selesa naik komuter dan perkhidmatan awam yang lain, kalau bukan kerana Pak Lah, entahlah...." Fikir-fikirkan..sekian.

2 comments:

TULIS ONLINE said...

Salam Blogger,

Sesungguhnya inilah realiti sebenar 'kualiti' perkhidmatan awam yang dahulu dibangga-banggakan oleh Malaysia sehingga kita mendabik dada.

Tetapi setelah sekian lama, perkhidmatan ini bukan sahaja tiada sistem malah bagi saya tiada maruah langsung.

INIKAH negara Islam Hadhari yang seolah-olah membenarkan manusia bersempit-sempit sehingga ada kes raba dan mencabul kehormatan dalam kesesakan train.

Saya syorkan saudara hantar sahaja suara hati saudara ini kepada berita harian mahupun harakahdaily untuk disensasikan.

Menteri kita seperti boss mereka juga (Pak Lah). Suka tidor... Bila ada berita yang mengemparkan dan sensasi barulah kedua atau keempat biji mata bewak mereka itu terbuka luas-luas.

Itu tak masuk lagi tentang masalah layanan dan servis kakitangan KTMB. Saya agak menyampah dengan mereka ini kerana kadang-kadang saya lihat lagak mereka seperti seorang graduan phD Bidang Keretapi dan Pengangkutan dari Universiti Of Komuter Bodoh.

Saya sarankan saudara membuat entry part 2 dimana membongkar segala sikap dan layanan servis kakitangan KTMB pula.

Saya akan menanti untuk membacanya.

Sekain.

Sarfarizmal Bin Saad
http://Sarfarizmalsaad.blogspot.com

Faizal said...

terima kasih atas cadangan dan pandangan saudara..im truly appreciate it.. Part 2 dah ada dlm otak..cuma tak bkesempatan lagi nak tulis..