
Pada 1hb/08, saya dan kakak mengambil keputusan untuk melawat mak tih di Hospital Ipoh Specialist. Kami bertolak dari sini sekitar pukul 7 malam selepas selesai service kereta akak di Serdang. Lebih kurang pukul 9.30 malam, kami selamat sampai di rumah mak tih. Lega rasanya apabila sepanjang perjalanan ke Ipoh kami tidak terlibat dengan kesesakan yang teruk. Segala penat hilang serta merta apabila melihat emak menyambut kedatangan kami di hadapan rumah mak tih..terubat segala kerinduan saya dan kakak.
Selepas itu, kami mengambil kesempatan untuk membersihkan diri serta berehat untuk menghilangkan penat. Keesokkannya ketika sedang bersiap-siap untuk ke hospital, pak tih memberitahu bahawa mak tih mengambil cuti dari hospital dan dibenarkan pulang ke rumahnya selama dua hari. Syukur alhamdulillah melihat keadaan mak tih apabila mak tih sampai di rumahnya. Walaupun keadaannya yang lemah, mak tih tidak lekok melayan sanak saudara yang ada pada ketika itu. Begitulah sifat mak tih yang saya kenali.
Pada hari Ahad, selepas dua hari berada di rumah mak tih, kami mengambil keputusan untuk pulang. Syukurlah kerana dapat meluangkan masa untuk melawat mak tih. Sekitar pukul 5.00 petang, saya dan kakak bergerak pulang. Alhamdulillah kami selamat sampai di rumah akak sekitar jam 7.30 malam. Belum sempat menghilangkan penat, satu panggilan telefon yang tak disangka-sangka..mak memberitahu saudara kami iaitu Abg It telah kembali ke Rahmatullah akibat kemalangan semasa dalam perjalanan pulang ke Perlis kerana menyertai konvoi kelab motorsikalnya ke Pulau Pangkor.
Saya tergamam dengan berita itu..dan hanya mampu beristifar serta sedekahkan Al-Fatihah ke atas roh Allahyarham. Sebak hati ini apabila mengingatkan kembali sifat serta perwatakan Allahyarham sepanjang hayatnya. Sifat Allahyarham yang ramah serta mudah mesra membuatkan beliau sentiasa disenangi oleh sanak saudara mahupun sahabat handai. Menurut ayah, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan sekitar jam 12 tgh malam. Menurut ayah, berdasarkan cerita daripada rakan-rakan Allahyarham, kemalangan tersebut berlaku di Lebuh Raya Pendang menuju ke utara. Semuanya berpunca daripada jalan yang tidak rata dan berbonggol..akibatnya Abg It terlepas daripada superbikenya dan kepalanya terhempas ke besi penghadang jalan. Menurut rakannya, helmet yang di pakai Allahyarham terbelah dua dan Allahyarham menghembuskan nafasnya terakhir di situ juga.
Kami sekeluarga menerima ini sebagai ketentuan takdir dari Yang Esa..Dia penentu segala-galanya..dan apa yang pasti, kita semua tidak tahu bilakah akan tiba masanya kita pula akan dijemput pulang kepangkuanNya..buat selama-lamanya. Al-Fatihah ke atas roh Allahyarham..semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama hambanya yang beramal soleh..dan semoga mak tih cepat sembuh selepas menjalani pembedahan. AMIN.











